WAKAF DI MALAYSIA

Majlis-Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) adalah pemegang amanah tunggal bagi semua harta wakaf sebagaimana yang dinyatakan menerusi akta/enakmen perundangan Islam di negeri-negeri. Sebagai pemegang amanah tunggal, MAIN mempunyai kuasa untuk:

i. Melantik atau memberi kebenaran bertulis kepada mana-mana pihak untuk mengurus dan mentadbir apa-apa mawquf bagi pihaknya;
ii. Mengiktiraf pelantikan mana-mana pengurus atau pentadbiran dalam keadaan di mana waqif telah pun melantiknya sendiri selain MAIN; dan
iii. Menamatkan pelantikan di para (i) dan (ii) di atas.

PENGERTIAN WAKAF

Pengertian Bahasa: Berhenti, Menahan, Menghalang

Istilah/Syara’: “Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S .W.T”

Beberapa pengertian/definisi lain:

1) Definisi wakaf di sisi Abi Hanifah:

Iaitu menahan sesuatu aset atau harta yang sah pemiliknya pewakaf dan bersedekah manfaatnya ke jalan kebajikan.

2) Definisi wakaf di sisi Jumhur Ulama’:

Iaitu menahan barangan harta yang boleh dimanfaatkan serta kekal asetnya – dengan memutuskan guna pakai ke atas aset itu dari pihak pewakaf atau lainnya -ke arah kegunaan yang harus – atau diguna pakai penghasilannya ke arah kebaikan dan kebajikan – kerana mendamping diri kepada Allah.

3) Definisi wakaf di sisi Mazhab Maliki:

Iaitu pemilik menjadikan manfaat yang dimilikinya – sekalipun dimilikinya dengan menyewa – ataupun dijadikan penghasilan seumpama wang – kepada yang memerlukan – dengan jalan berlafaz- untuk jangka masa yang ditetapkan oleh pewakaf. Dengan itu – wakaf di sisi Mazhab Maliki ialah tidak memutuskan hak pemiliknya pada asset yang diwakafkan -hanya memutuskan hak mengguna pakai sahaja.

RUKUN DAN SYARAT

RUKUN
a) Wakif (pewakaf).

Di antara syarat-syarat pewakaf adalah:

– Mestilah memiliki secara penuh harta yang ingin diwakafkan, bermakna ia merdeka untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki.
– Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya.
– Baligh.
– Pilihan sendiri untuk berwakaf dan tidak dipaksa (ikhtiar bi nafsih).

b) Mawquf (harta yang diwakafkan).

– Harta itu mestilah benda yang dapat diambil manfaatnya.
– Harta yang diwakafkan mempunyai nilai harga (mutaqawwim).
– Harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna oleh orang yang berwakaf (waqif).
– Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak.

c) Mawquf ‘Alaih (penerima wakaf).

– Orang yang boleh untuk memiliki harta (ahlan li al-tamlik) – orang Islam, merdeka dan kafir zimmi boleh memiliki dan menerima manfaat harta wakaf. Manakala orang yang tidak sempurna akalnya, hamba sahaya, dan orang gila tidak sah menerima wakaf.

– Penerima wakaf mampu menjadikan manfaat wakaf sebagai hal taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T) dan perkara ini hanya ditujukan untuk kepentingan Islam sahaja.

d) Sighah (penyataan wakaf).

– Pernyataan wakaf yang dibuat sama ada secara lisan, tulisan bersama lafaz ataupun isyarat.
– Melalui lafaz sama ada secara soreh atau kinayah.

Lafaz soreh: lafaz yang jelas membawa maksud yang tertentu sahaja seperti “Saya mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir”.

Lafaz kinayah: lafaz yang membawa banyak maksud seperti “Hartaku adalah sedekah kepada fakir miskin”.

SYARAT
Tiada maklumat akan dikemaskini

PENSYARIATAN WAKAF

a) AL-QURAN

Surah Al-Baqarah, ayat 261:

Bermaksud:

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Surah Ali ‘Imran, ayat 92:

Bermaksud:

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sehahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan suatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

b) HADITH NABAWIYAH

Dari Abu Hurairah RA., sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Apabila mati anak Adam, akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakannya”

Hadith Riwayat Muslim

Hadith dari Ibni Umar r.a.

Hadith dari Ibni Umar r.a. dia berkata: Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang kepada Nabi s.a.w untuk minta pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar, di mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah Azzawajalla) apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?”

Maka sabda Rasulullah s.a.w kepadanya yang bermaksud:

“Jika engkau hendak tahanlah (bekukan) tanah itu, dan sedekahkan manfaatnya.”

Maka Umar pun sedekahkan manfaatnya dengan syarat tanah (maukuf) itu tidak boleh dijualbeli, tidak dihibahkan (beri) dan tidak diwariskan (dipusakai). Tanah itu diwakafkan ke atas fakir miskin, kaum kerabat, memerdekakan hamba sahaya, sabilillah, ibnissabil dan tetamu. Dan tidak ada halangan bagi orang yang menguruskan (yang diberi kuasa menjaganya yakni Nazir) untuk mengambil upah sebahagian darinya dengan cara yang wajar dan mengambil upahnya tanpa menganggap bahawa tanah itu miliknya sendiri.

c) IJMA’

– Imam Al-Qurthuby berkata: Sesungguhnya permasalahan wakaf adalah ijma (sudah disepakati) di antara para sahabat Nabi; yang demikian kerana Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Aisyah, Fathimah, Amr ibn Al-Ash, Ibnu Zubair, dan Jabir, seluruhnya mengamalkan syariat wakaf, dan wakaf-wakaf mereka, baik di Makkah mahupun di Madinah, sudah dikenal masyhur oleh khalayak ramai. (Rujuk: Tafsir Al-Qurthuby: 6/339, Al-Mustadrah 4/200).

– Jabir berkata: Tiada seorangpun dari sahabat Nabi yang memiliki kemampuan dan kelapangan rezeki, kecuali pasti pernah mewakafkannya. (Rujuk: Al-Mughni 8/185, Al-Zarkasyi 4/269).

– Imam Tirmidzi menyatakan: Wakaf telah diamalkan oleh para ulama, baik dari kalangan sahabat Nabi mahupun yang lainnya, saya tidak melihat ada perbezaan pendapat di kalangan ulama mutaqaddimin tentang bolehnya wakaf, baik wakaf tanah mahupun wakaf yang lain.? (Rujuk: Sunan Tirmidzi 5/13 setelah hadits no. 1375).

SEJARAH PERKEMBANGAN WAKAF

i. MAIN sebagai pemegang amanah tunggal harta wakaf.
ii. Wakaf berbentuk keagamaan dan sosial seperti masjid, surau, sekolah agama dan rumah anak yatim diteruskan.
iii. Penerokaan kaedah baru pembangunan wakaf seperti projek perladangan.
iv. Wakaf Tunai dan Saham Wakaf diperkenalkan.
v. Penubuhan JAWHAR dan YWM di peringkat Persekutuan dalam menyokong dan membantu usaha MAIN membangunkan wakaf.
vi. Wujud projek-projek wakaf berbentuk ekonomi yang dilaksanakan oleh JAWHAR dan YWM dengan kerjasama MAIN dalam usaha menjana dana pembangunan wakaf akan datang.
vii. Kepelbagaian projek wakaf dalam sektor komersil, pelancongan, perumahan, pendidikan dan kesihatan.

JABATAN WAKAF ZAKAT DAN HAJI (JAWHAR)

JAWHAR yang ditubuhkan pada 27 Mac 2004 oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah bin Ahmad Badawi, bertujuan memastikan pentadbiran harta wakaf, zakat dan urusan haji di seluruh negara dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, sistematik dan berkesan. Antara bidang kuasa dan peranan JAWHAR adalah seperti berikut:

a. Merancang, melaksana, memantau dan menyelaras pembangunan institusi Wakaf, Zakat, Baitulmal dan Haji/Umrah agar dapat berfungsi dengan lebih berkesan dalam pembangunan sosio-ekonomi ummah;
b. Merancang dan menyelaras keperluan serta keseragaman sistem perundangan bagi pembangunan institusi Wakaf, Zakat, Baitulmal dan Haji/Umrah;
c. Menjalinkan kerjasama pintar dengan Kerajaan serta GLC/pihak swasta dalam pembangunan institusi Wakaf, Zakat, Baitulmal dan Haji/Umrah;
d. Menjalankan kajian serta penyelidikan, penerbitan dan penyelarasan mengenai isu dan program-program pembangunan khazanah umat Islam supaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh ummah; dan
e. Membantu dan memberi khidmat sokongan dalam pengurusan sumber manusia, kewangan dan ICT kepada pihak berkuasa agama negeri-negeri dan agensi- agensi berkaitan.

YAYASAN WAQAF MALAYSIA (YWM)

YWM merupakan entiti wakaf kebangsaan di bawah JAWHAR telah ditubuhkan pada 23 Julai 2008 melalui Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 [Akta 258]. Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWM terdiri daripada wakil setiap MAIN, wakil Kerajaan Persekutuan dan tokoh korporat. YWM berperanan menggembleng sumber-sumber wakaf dan menjadi pelengkap kepada usaha MAIN dalam membangunkan harta tanah wakaf di Malaysia (YWM, 2013). Fungsi utama YWM adalah:

a. Mengumpul dan menjana dana bagi membangunkan harta tanah wakaf; dan
b. Memaju dan membangunkan harta tanah wakaf dengan kerjasama MAIN.

HARTA YANG BOLEH DIWAKAFKAN

Harta yang boleh di wakafkan (alwawquf):

i. Harta yang diwakafkan hendaklah ditentukan atau jelas (ta’yin);
ii. Harta yang diwakafkan hendaklah mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh diambil manfaatnya seperti tanah, bangunan, saham dan lain-lain;
iii. Harta yang diwakafkan hendaklah boleh dipindah milik dan bukan harta yang ditahan seperti harta orang muflis atau harta anak yatim;
iv. Harta yang boleh diambil manfaat secara berkekalan (masa yang lama); dan
v. Harta yang hendak diwakafkan adalah milik sempurna pewakaf dan bukan harta orang lain seperti harta yang terlibat dengan pinjaman, sewa atau sebagainya.

Sedutan dari Portal Rasmi Yayasan Waqaf Malaysia (https://www.ywm.gov.my)

You might also enjoy